Monday, October 31, 2011

13.0 RUMUSAN
MANFAAT YANG DIPEROLEH DARIPADA PROGRAM  JARINGAN  PENDIDIKAN ANTARA SMSTSP DAN LE HONG PHONG HIGH SCHOOL FOR THE GIFTED SERTA JALINAN PENDIDIKAN ANTARA SMSTSP DAN TON DUC THANG UNIVERSITY.


13.1    Merasai dan mempelajari cara hidup di Vietnam
            Melalui program ini para pelajar dapat merasai dan mempelajari cara hidup di Vietnam. Hal ini demikian kerana, para pelajar dapat mengetahui budaya para penduduk di Vietnam. Penduduk di Vietnam sangat terkenal dengan sikap mereka yang gigih berusaha untuk mencari rezeki. Perkara ini terbukti apabila setiap kali rombongan ke destinasi tertentu, kami mendapati  ramai penduduk Vietnam yang berniaga di tepi jalan raya untuk menyara diri dan keluarga. Hal yang demikian menimbulkan rasa syukur dalam diri kami semua kerana menduduki negara Malaysia yang maju ekonominya. Selain itu, kami juga mendapati bilangan penunggang motosikal lebih ramai daripada pemandu kereta.  Keadaan jalan raya di Bandar Ho Chi Minh sangat sibuk  jika dibandingkan  dengan Bandaraya Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun, kemalangan jalan raya sangat jarang berlaku di bandar tersebut walaupun sistem perhubungan jalan raya di sana tidak lengkap seperti di Malaysia yang dilengkapi dengan lampu isyarat dan sebagainya. Hal ini menunjukkan bahawa penduduk di Vietnam sangat berhati-hati semasa memandu kereta dan menunggang motosikal jika dibandingkan dengan negara Malaysia yang selalu berlaku kemalangan disebabkan oleh sikap rakyat yang kurang prihatin. Rakyat Malaysia sepatutnya mencontohi sikap penduduk Vietnam yang sangat berhemah ketika memandu kereta dan menunggang motosikal.
  • Keadaan di jalan raya di Bandar Ho Chi Minh yang sesak dengan kenderaan.
  • Suasana di Night Market di Ho Chi Minh.
13.2   Menambah kenalan
            Para pelajar dapat menambah lebih ramai kenalan baru dari negara lain melalui program ini. Sebagai contoh, pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra telah menjalinkan hubungan dengan pelajar Le Hong Phong High School for The Gifted. Setiap pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk aktiviti R&D. Oleh sebab itu, aktiviti tersebut telah memberi peluang kepada kedua-dua buah sekolah untuk menjalinkan hubungan persahabatan  yang baik antara pelajar. Selain melakukan aktiviti R&D, pelajar Le Hong Phong High School for The Gifted juga diajar untuk menyanyikan lagu `Rasa Sayang' oleh pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra. Aktiviti yang diadakan telah merapatkan lagi hubungan antara pelajar.Malahan, para pelajar juga turut bertukar e-mail dan nombor telefon agar hubungan yang mesra ini dapat diteruskan. Terdapat juga segelintir pelajar yang bertukar cenderamata untuk dijadikan kenangan. Program ini betul-betul membantu pelajar untuk menambah kenalan dengan lebih ramai.
  • Gambar di atas menunjukkan interaksi antara pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra dengan pelajar Le Hong Phong High School for The Gifted.
  • Pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra bersama dengan pelajar Le Hong Phong High School for The Gifted
 
  • Pelajar SMSTSP sedang berinteraksi dengan pelajar Le Hong Phong High School for The Gifted.
  • Pelajar SMSTSP dan pelajar Le Hong Phong High School for The Gifted sedang berbincang ketika menjalankan aktiviti RnD.
13.3  Pengalaman baru
            Program ini telah membantu para pelajar untuk mendapat pengalaman baru. Kebanyakan pelajar yang menyertai program ini belum pernah ke luar negara sebelum ini. Oleh sebab itu, program ini telah memberi peluang kepada mereka untuk ke luar negara dan mendapat pengalaman baru berada di negara orang. Semasa berada di Vietnam, rombongan Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra telah dibawa ke Terowong Cu Chi yang terkenal dengan sejarah. Terowong tersebut telah dibina semasa peperangan  antara Amerika dan Vietnam. Terowong ini dijadikan markas utama pasukan gerila Vietnam untuk menentang dan bertahan daripada serangan tentera Amerika.  Pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra juga telah berpeluang untuk merasai sendiri keadaan di dalam Terowong Cu Chi. Keadaan di dalam terowong tersebut sangat gelap. Oleh sebab itu, pasukan gerila Vietnam pada zaman dahulu perlu menggunakan lampu minyak tanah semasa melalui terowong tersebut. Pengalaman semasa memasuki Terowong Cu Chi tersebut sangat sukar untuk dilupakan kerana para pelajar dapat merasai keadaan sebenar semasa peperangan. Setelah merasai sendiri pengalaman berada di dalam Terowong Cu Chi, para pelajar dapat mengetahui dengan lebih terperinci mengenai strategi serangan gerila Vietnam terhadap tentera Amerika. Di samping itu, para pelajar dapat mengambil iktibar daripada kegigihan dan daya kreativiti yang dipamerkan oleh gerila Vietnam ketika menghadapi peperangan. 
  • Salah seorang pelajar SMSTSP sedang memasuki terowong yang digali oleh gerila Vietnam.
  • Pelajar SMSTSP dapat melihat dengan sendiri strategi peperangan yang dijalankan oleh gerila Vietnam ketika berperang.
  • Salah seorang pelajar SMSTSP merakam kenangan ketika berada di dalam Terowong Cu Chi.
  • Pelajar SMSTSP tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama kereta kebal yang digunakan oleh tentera Amerika ketika berperang dengan Vietnam.
13.4    Mengasah kemahiran berkomunikasi
            Semasa berada di  Vietnam, para pelajar perlu berkomunikasi dengan penduduk tempatan. Oleh sebab itu, para pelajar perlu mempunyai kemahiran untuk berkomunikasi dengan baik kerana negara Malaysia dan Vietnam mempunyai bahasa ibunda yang berbeza . Oleh sebab itu, Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar. Kemahiran berkomunikasi banyak digunakan ketika menjalinkan hubungan dengan pelajar Le Hong Phong High School for The Gifted dan pelajar Universiti Ton Duc Thang. Semasa berada di Le Hong Phong High School for The Gifted, pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra dapat belajar serba sedikit perkataan dalam bahasa Vietnamese. Pelajar Le Hong Phong High School for The Gifted juga turut diajar untuk bercakap  dalam bahasa Melayu. Dengan adanya aktiviti pertukaran bahasa tersebut, pelajar dapat mempelajari bahasa negara lain dan kadangkala bahasa tersebut dapat diaplikasikan apabila perlu. Selain daripada berkomunikasi dengan pelajar dari negara asing, pelajar juga perlu berkomunikasi dengan peniaga ketika membeli belah di sesuatu tempat. Kadangkala pelajar menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi kerana sesetengah peniaga tidak faham dengan kehendak pelajar. Hal ini membuktikan bahawa kemahiran berkomunikasi sangat penting. Dengan berkomunikasi juga pelajar dapat menambah keyakinan  dalam diri.  Aktiviti yang memerlukan komunikasi secara tidak langsung  dapat mengasah kemahiran pelajar untuk berkomunikasi.
  • Pelajar SMSTSP berkomunikasi bersama pelajar Ton Duc Thang University.
  • Kemahiran berkomunikasi amat penting untuk berinteraksi dengan pelajar lain.
Hubungan mesra dapat dilihat antara pelajar SMSTSP dengan pelajar Ton Duc Thang University walaupun pertama kali bertemu.
Kelihatan dua orang kanak-kanak sedang berinteraksi dengan pelajar SMSTSP ketika berjual beli.
13.5   Pertukaran budaya antara negara Malaysia dan Vietnam dapat diwujudkan
Seperti yang diketahui,setiap negara mempunyai identiti kebudayaan masing-masing.Identiti kebudayaan Malaysia berkemungkinan jauh berbeza daripada identiti kebudayaan Vietnam.Melalui program pengantarabangsaan serta jaringan dan jalinan pendidikan ini,pertukaran budaya antara kedua-kedua buah negara dapat dilaksanakan.Selain dapat mempelajari dan menghayati budaya suatu masyarakat yang baru,pelajar juga berpeluang untuk mempamerkan identiti kebudayaan negara masing-masing.Sebagai contoh,para pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra telah membuat persembahan berkaitan budaya masyarakat Melayu ketika berada di Le Hong Phong High School.Selain itu,pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra juga telah mengajar pelajar-pelajar Le Hong Phong High School untuk menyanyi lagu 'Rasa Sayang 'yang merupakan salah satu lagu tradisional masyarakat Melayu di Malaysia.Pelajar Le Hong Phong High School juga telah membuat persembahan berkaitan budaya mereka dengan begitu menarik.Di samping itu,suatu program yang dinamakan Program Pertukaran Kebudayaan telah diadakan semasa aktiviti jalinan pendidikan antara Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra dan juga Ton Duc Thang University dilaksanakan.Program tersebut diadakan di Ton Duc Thang University serta mendapat sokongan yang begitu meriah daripada kedua-kedua belah pihak.Ketika program tersebut berlangsung,pelajar-pelajar universiti itu telah menyampaikan lagu-lagu yang berkaitan masyarakat mereka.Selain itu,pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tingkatan Tiga telah membuat persembahan istimewa dengan memperagakan fesyen pakaian yang berkonsepkan masyarakat berbilang bangsa yang terdapat di Malaysia.Nyanyian 1Malaysia yang disampaikan oleh pelajar-pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra telah menggamatkan lagi suasana ketika majlis berlngsung.
  • Pelajar Tingkatan 3 SMSTSP sedang memperagakan fesyen yang mempamerkan identiti kebudayaan masyarakat Malaysia.
  • Pelajar Le Hong Phong High School for The Gifted sedang menyanyi lagu `Rasa Sayang' yang telah diajar oleh pelajar SMSTSP.
  • Pelajar Le Hong Phong High School for The Gifted sedang mempersembahkan nyanyian bertemakan masyarakat Vietnam.
  • Pelajar SMSTSP sedang menyanyi lagu `Rasa Sayang' dan lagu sekolah.
  • Pelajar SMSTSP tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama pelajar Ton Duc Thang University ketika program pertukaran kebudayaan.
13.6  Menjalin hubungan baik antara pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra dan Le Hong Phong High School For The Gifted serta Ton Duc Thang University
 Program jaringan serta jalinan pendidikan ini bukan sahaja dapat mewujudkan hubungan baik antara Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra dengan institusi-institusi pendidikan yang telah dinyatakan malah dapat membantu untuk membentuk hubungan baik antara pelajar-pelajar yang terlibat.Hal ini demikian kerana pelajar-pelajar yang terlibat dalam program ini perlu berinteraksi antara satu sama lain ketika menjalankan aktiviti.Pelbagai aktiviti telah dijalankan semasa program ini berlangsung serta komitmen yang baik daripada semua pelajar amat diperlukan bagi menjayakan program ini.Kerjasama baik yang diberikan oleh setiap pelajar yang terlibat telah membantu untuk menjadikan program jaringan serta jalinan pendidikan ini berjalan lancar.Komunikasi berkesan antara para pelajar sekaligus dapat membentuk suatu hubungan baru antara mereka.Program ini bukan sahaja dapat mewujudkan hubungan erat dalam bidang pendidikan antara Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra serta Le Hong Phong High School dan Ton Duc Thang University malah dapat juga membentuk ikatan silaturrahim antara pelajar yang terlibat.Bak kata pepatah,'berkawan biar beribu,berkasih biar satu'.Hubungan yang terjalin antara pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra dan Le Hong Phong High School serta Ton Duc Thang University dapat membuka minda para pelajar untuk berinteraksi dengan pelajar yang berlainan latar belakang serta pendidikan.
  • Gambar di atas menunjukkan pihak SMSTSP dan pihak Ton Duc Thang University bergambar kenangan ketika program jalinan pendidikan diadakan.
  • Pelajar SMSTSP dan pelajar Le Hong Phong High School for The Gifted merakam kenangan ketika program jaringan pendidikan dilaksanakan.
  • Kerjasama daripada pelajar Le Hong Phong High School for The Gifted amat penting untuk mewujudkan hubungan baik dangan pelajar SMSTSP.
  • Sijil sebagai tanda penghargaan diberikan oleh Ton Duc Thang University kepada pihak SMSTSP.
13.7  Penguasaan Bahasa Inggeris dalam berkomunikasi
'Bahasa Jiwa Bangsa'.Ungkapan ini jelas menunjukkan bahawa setiap bahasa yang digunakan akan mempamerkan identiti sesuatu bangsa.Setiap bangsa mempunyai bahasa pertuturan masing-masing yang mungkin berlainan antara satu sama lain.Oleh sebab itu,perbezaan bahasa pertuturan yang digunakan dalam sesuatu komuniti masyarakat akan menyebabkan kesukaran seseorang individu untuk memahami sesuatu bahasa yang dituturkan.Namun begitu,penggunaan Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian akan memudahkan pemahaman seseorang terhadap sesuatu perkara.Seperti yang diketahui,Bahasa Inggeris telah diiktiraf sebagai bahasa antarabangsa yang utama di seluruh pelosok dunia.Penggunaan Bahasa Inggeris dalam kehidupan juga membantu untuk menjalinkan hubungan antara masyarakat.Semasa program jaringan dan jalinan pendidikan antara Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra dan Le Hong Phong High School serta Ton Duc Thang University diadakan,para pelajar telah menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan ketika berkomunikasi.Perkara ini sekaligus dapat melatih para pelajar untuk mempraktikkan penggunaan Bahasa Inggeris ketika berkomunikasi antara satu sama lain.Selain itu,para pelajar juga dapat meningkatkan pengetahuan dalam perbendaharaan kata di samping mempelajari perkataan-perkataan yang baru.Walau bagaimanapun,sesetengah pelajar menghadapi kesukaran ketika berkomunikasi antara satu sama lain kerana bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan menggunakan dialek percakapan masing-masing.Namun begitu,masalah tersebut dapat diatasi kerana terdapat beberapa pelajar yang fasih berbahasa Inggeris serta dapat memahami percakapan pelajar-pelajar Vietnam dengan baik.Mereka membantu untuk menjelaskan perkara-perkara yang disampaikan oleh pelajar-pelajar Vietnam kepada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra.
  • Pelajar SMSTSP dan pelajar Le Hong Phong High School for The Gifted menggunakan Bahasa Inggeris ketika berkomunikasi.
  • Penggunaan Bahasa Inggeris oleh guru Le Hong Phong High School for The Gifted ketika memberi penerangan memudahkan guru SMSTSP untuk memahaminya.
  • Pemandu pelancong menggunakan Bahasa Inggeris ketika member penerangan kepada pelajar SMSTSP.
  • Bahasa Inggeris digunakan ketika sesi perbincangan antara SMSTSP dengan Ton Duc Thang University.
13.8  Mengetahui sejarah Negara Vietnam
Pelbagai tempat menarik telah kami kunjungi semasa berada di Vietnam.Tidak lengkap program kami sekiranya tidak mengadakan lawatan sambil belajar ke beberapa tempat menarik di sekitar bandaraya Ho Chi Minh.Hal ini demikian I kerana program pengantarabangsaan yang dilaksanakan oleh Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra  di Vietnam berteraskan tiga elemen utama iaitu Penyelidikan dan Pembangunan (RnD),kajian lapangan berkaitan Sejarah serta penulisan jurnal Inggeris.Oleh sebab itu,lawatan sambil belajar ke tempat-tempat bersejarah amat penting agar kajian lapangan berkaitan sesuatu Sejarah dapat dilaksanakan.Muzium Perang yang terletak di bandaraya Ho Chi Minh merupakan salah satu tempat bersejarah yang telah dilawati serta dijadikan sebagai lokasi kajian lapangan.Muzium Perang telah dibuka pada 4 September 1975 serta diiktiraf sebagai salah satu rangkaian sistem muzium Vietnam.Melalui kajian lapangan yang telah dijalankan di Muzium Perang,maklumat tentang peperangan yang berlaku di Vietnam dapat diperoleh seperti Perang Vietnam yang berlaku pada 1945 sehingga 1975.Peperangan yang berlaku telah meninggalkan pelbagai kesan pahit terhadap mangsa-mangsa peperangan.Kematian,kecacatan dan kehilangan tempat bergantung merupakan kesan yang terpaksa ditanggung oleh setiap mangsa peperangan di Vietnam.Pelbagai gambar berkaitan mangsa-mangsa peperangan di Vietnam telah dipamerkan di muzium tersebut.Selain itu,peralatan-peralatan perang yang telah digunakan ketika peperangan berlaku juga telah dipamerkan di Muzium Perang tersebut.Ketika tercetusnya Perang Vietnam,seramai tiga juta rakyat Vietnam telah terkorban manakala dua juta lagi mangsa telah tercedera.Di samping itu,tiga ratus ribu rakyat Vietnam yang lain telah hilang. Selain bertujuan menunjukkan kesan-kesan peperangan yang telah berlaku tidak lama dahulu,penubuhan muzium ini juga bertujuan untuk menyemai kesedaran dalam diri setiap individu masa ini agar mencintai kedamaian dalam kehidupan serta berusaha untuk mengelakkan peperangan daripada berlaku.Peperangan yang berlaku telah meninggalkan banyak kesan negatif yang sukar dilupakan oleh setiap individu yang merasainya.Kedamaian yang berkekalan akan wujud sekiranya setiap masyarakat saling bertoleransi dan menghormati antara satu sama lain.
  • Pelajar SMSTSP merakam kenangan ketika berada di Muzium Perang.
  • Guru dan pelajar SMSTSP merakan kenangan ketika berada dalam Terowong Cu Chi.
  • Warga SMSTSP merakam kenangan berlatarbelakangkan bangunan bersejarah iaitu City Hall.
13.9  Mengetahui mengenai sistem pendidikan di Vietnam
Program jaringan pendidikan yang dilaksanakan antara Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra dengan Le Hong Phong High School For The Gifted telah merapatkan jurang pendidikan antara kedua-kedua buah sekolah.Hubungan dari segi pendidikan yang terjalin antara kedua-kedua buah sekolah dapat membantu untuk memajukan sistem pendidikan di sekolah masing-masing.Hal ini demikian kerana sistem pendidikan di kedua-kedua buah sekolah tersebut adalah berbeza antara satu sama lain.Sistem pendidikan di Malaysia dan di Vietnam adalah sangat berbeza serta berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.Sebagai contoh,sistem pendidikan di Malaysia bermula daripada sesi persekolahan di peringkat tadika iaitu ketika kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun.Seterusnya,mereka akan meneruskan pengajian mereka di peringkat sekolah rendah ketika berumur tujuh hingga dua belas tahun.Mereka akan menduduki suatu ujian yang dinamakan Ujian Penilaian Sekolah Rendah yang mengandungi lima subjek utama iaitu Bahasa Melayu(Pemahaman),Bahasa Melayu(Penulisan),Bahasa Inggeris,Matematik dan Sains.Sekiranya pelajar berjaya untuk meraih semua 'A'dalam setiap subjek,mereka berpeluang untuk melanjutkan pelajaran peringkat menengah mereka di sekolah menengah yang terkemuka seperti sekolah berasrama penuh dan maktab rendah sains mara(MRSM).Namun begitu,sekiranya mereka tidak berpeluang untuk melanjutkan peringkat menengah mereka di sekolah-sekolah tersebut,pelajar masih dapat menyambung pelajaran mereka di sekolah menengah harian biasa.Pembelajaran di peringkat sekolah menengah akan dilalui oleh pelajar ketika pelajar berusia tiga belas tahun sehingga mereka berumur tujuh belas tahun.Namun begitu,pelajar juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran peringkat menengah mereka sehingga berumur lapan belas tahun.Setelah pelajar berusia lima belas tahun,mereka akan menduduki suatu ujian yang dinamakan ujian Penilaian Menengah Rendah yang merangkumi lapan subjek utama iaitu Bahasa Melayu,Bahasa Inggeris,Matematik,Sains,Sejarah,Geografi,Pendidikan Islam dan Kemahiran Hidup.Walau bagaimanapun,ujian subjek yang diambil oleh pelajar mungkin berbeza antara mereka bergantung pada subjek yang dipelajari oleh pelajar masing-masing.Ketika pelajar berusia tujuh belas tahun,mereka akan menduduki ujian Sijil Pelajaran Malaysia bagi menentukan hala tuju mereka pada masa hadapan.Sekiranya pelajar memperoleh keputusan yang cemerlang dalam ujian tersebut,mereka berpeluang untuk melanjutkan pelajaran mereka di peringkat yang lebih tinggi seperti di universiti,kolej dan matrikulasi.Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra merupakan sebuah sekolah berasrama penuh yang menyediakan peluang pendidikan peringkat menengah.Le Hong Phong High School For The Gifted merupakan sebuah sekolah menengah yang terkemuka di bandaraya Ho Chi Minh.Setiap pelajar yang memohon untuk masuk ke sekolah tersebut perlu menduduki ujian yang merangkumi empat subjek iaitu Matematik,Sastera,Bahasa Inggeris dan salah satu daripada sebelas subjek yang ditawarkan dalam kelas sebagai pengkhususan.Dua belas subjek yang ditawarkan sebagai subjek pengkhususan.Subjek-subjek tersebut ialah Matematik,Sains Komputer,Fizik,Kimia,Biologi,Geologi,Sejarah,Sastera,Bahasa Inggeris,Bahasa Rusia,Bahasa Perancis dan Bahasa Cina.Para pelajar tidak perlu membayar yuran tuisyen.Setiap pemohon juga perlu memastikan jurusan yang mereka ingin belajar.Jurusan yang dipilih pelajar merangkumi tiga daripada sebelas subjek utama dan tahap kesukaran subjek adalah berbeza.
Jurusan A=Matematik,Fizik,Kimia
Jurusan B=Matematik,Kimia,Biologi
Jurusan C=Sastera,Sejarah,Geologi
Jurusan D=Matematik,Sastera,Bahasa Asing
  • Pelajar SMSTSP merasai sendiri pengalaman mengikuti sesi pembalajaran di dalam kelas di Le Hong Phong High School for The Gifted.
  • Perbezaan dari segi suasana pembelajaran dirasai sendiri oleg pelajar SMSTSP setelah melibatkan diri ketika sesi pembelajaran di Le Hong Phong High School for The Gifted.
14.0           PENUTUP
Adalah menjadi harapan kami agar program seumpama ini akan dapat mengeratkan kerjasama dan menjana perkongsian kepakaran antara guru-guru dan pelajar-pelajar kedua-dua sekolah. Kami juga berharap agar para pelajar mendapat faedah dari program ini melalui proses perkongsian dan penyebaran pengetahuan oleh rakan-rakan yang terlibat secara langsung. Adalah juga diharapkan pelajar-pelajar yang terlibat akan dapat meningkatkan keyakinan diri untuk berinteraksi diperingkat global dan seterusnya menjadi pelajar-pelajar yang berwibawa , berwawasan , berfikiran matang dan mampu membawa sekolah ke persada dunia. Semua ini akan dapat membantu meningkatkan prestasi sekolah ke tahap yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

No comments:

Post a Comment